Commercialization Products

CERPEN - KOMIK

Menatah Permata Syurga

Menatah Permata Syurga mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh pengasuh dan pendidik di taska dan tadika di Malaysia dalam pembangunan profesionalisme dan laluan kerjaya mereka. Cerpen-komik ini merupakan hasil nukilan penyelidik-penyelidik di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris berdasarkan sebuah kajian bertajuk Pembangunan Profesionalisme Pengasuh Pendidik yang dijalankan di seluruh negara

TRAVELOG

Pembangunan Profesionalisme Pendidik PAKK

Travelog ini menceritakan usaha pihak pengurusan dan urusetia dalam merancang, mentadbir dan menguruskan siri jelajah seminar pembangunan profesionalisme pengasuh dan pendidik di seluruh Malaysia. Ia juga merupakan catatan perjalanan penyelidik/penceramah di lokasi terpilih untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama peserta. Senarai peserta diperoleh dengan kebenaran dari agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), KPM, JPN dan JKM serta Yayasan Kerajaan Negeri. Semua peserta dihubungi untuk mendapat persetujuan samada sebagai peserta seminar mahupun peserta temubual. Adakalanya terdapat kesukaran mendapat peserta kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian, dan adakalanya juga peserta melebihi dari kapasiti yang mampu dilaksanakan. Sijil penghargaan diberikan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam program ini.

MODUL

Aha! Sains Tumbuhan Itu Menyeronokkan!

Modul ini merupakan salah satu usaha penulis untuk melahirkan lebih ramai saintis secara umum dan pakar botani secara khususnya melalui pembudayaan pendidikan STEM di peringkat kanak-kanak.

Air Adalah Kehidupan

Modul Air Adalah Kehidupan ini dihasilkan sebagai satu inisiatif untuk menerapkan minat terhadap bidang Sains dalam diri kanak-kanak berusia 1-6 tahun. Modul ini juga diharap dapat membantu para ibu bapa dan pendidik dalam sesi pembelajaran sama ada di rumah, taska, atau tadika.

Budaya Keusahawanan untuk Kanak-kanak

Modul Budaya Keusahawanan untuk Kanak-Kanak ini dibangunkan sebagai panduan bagi membantu ibu bapa dan pendidik menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa dan pendidik dapat mengenalpasti konsep asas keusahawanan dan kaedah yang bersesuaian untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak berusia 6 hingga 8 tahun.

Penggunaan Aplikasi (Apps) dan Gerakan Jari yang Bersesuaian untuk Kanak- Kanak Mengikut Perkembangan Umur

Modul Penggunaan Aplikasi (Apps) dan Gerakan Jari yang Bersesuaian untuk Kanak- Kanak Mengikut Perkembangan Umur ini adalah berfokus kepada penggunaan gerakan jari tap, drag slide, drag & drop, free rotate, pinch, flick dan spread pada apps menggunakan telefon pintar/tablet/komputer yang mempunyai skrin sesentuh. Modul ini bersesuaian untuk para guru dan ibu bapa mengajar kanakkanak berumur 2 hingga 6 tahun untuk memperkukuhkan kemahiran motor halus kanak-kanak samada di taska/tadika mahupun di rumah. Penggunaan telefon pintar/tablet/komputer perlu dikawal dan diselia oleh guru dan ibu bapa supaya penggunaannya tidak berlebihan dan pemilihan apps juga perlu dipastikan bersesuaian dari segi kandungan dan jenis gerakan jari yang sesuai dan bertepatan dengan kebolehan kanak-kanak.

Penyakit Bawaan Nyamuk dan Kaedah Pencegahannya

Modul ini ditulis khusus buat guru-guru TASKA bagi kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun, juga guru-guru TADIKA bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun. Ianya juga sesuai digunakan oleh ibubapa bagi pembelajaran kanak-kanak di rumah. Objektif utama modul ini adalah bagi meningkatkan kesedaran bahaya nyamuk dan penyakit bawaan nyamuk khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Aktiviti yang dicadangkan di dalam modul ini boleh diubahsuai mengikut keperluan guru atau ibubapa. Kandungan buku ini juga boleh dijadikan rujukan oleh ibubapa dalam meningkatan kesedaran kanak-kanak terhadap penyakit bawaan nyamuk dan kaedah pencegahannya.

Terokai Alam Haiwan untuk Kanak-kanak PraSekolah

Modul Terokai Alam Haiwan untuk Kanak-Kanak Prasekolah ini merupakan salah satu inisiatif murni untuk mendokong hasrat negara bagi melahirkan generasi celik sains di Malaysia. Sejajar dengan matlamat tersebut, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) telah mengintegrasikan bidang Sains Awal dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) semakan 2017. Hasil pembelajaran bidang Sains Awal ini antaranya adalah untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan sikap ingin tahu dan minat tentang dunia di sekeliling mereka serta menyediakan platform bagi kanak-kanak untuk menguasai kemahiran saintifik dan berfikir secara kreatif dan kritis. Oleh itu, modul ini dibina dengan tujuan untuk menyediakan rancangan aktiviti pembelajaran yang dapat membantu mencapai hasil pembelajaran tersebut. Terdapat dua aktiviti sains yang bertemakan alam haiwan dimuatkan di dalam modul ini. Selain daripada bersifat ringkas dan praktikal untuk dilaksanakan bersama kanak-kanak, penerapan kemahiran proses sains juga dibuat dalam aktiviti-aktiviti tersebut sebagai nilai tambah. Modul ini diharap dapat menyuntik dan menyemarakkan minat kanak- kanak terhadap bidang sains. Disamping itu, modul ini juga diharap dapat membantu para pendidik dalam sesi pembelajaran sama ada di taska atau tadika.

Translate »