Kurikulum Permata Negara bukan sahaja diguna pakai di Pusat Anak Permata Negara malahan juga di Taska Permata Kemas dan Taska Permata Perpaduan yang sebelum ini sudah mempunyai kurikulum tersendiri. Justeru, kajian ini dilakukan bagi melihat sejauh mana penerimaan pendidik di ketiga-tiga jenis taska kelolaan kerajaan terhadap Kurikulum Permata Negara. Di samping itu, kajian ini juga ingin meninjau pelaksanaan dan masalah dalam pelaksanaan kurikulum tersebut. Kajian ini menggabungkan kaedah kajian kuantitatif secara tinjauan dan kaedah kajian kualitatif secara temu bual. Seramai 345 orang pendidik terlibat dalam tinjauan manakala seramai 45 orang pendidik terlibat dalam sesi temu bual. Instrumen tinjauan yang digunakan ialah soal selidik penerimaan Kurikulum Permata Negara yang dibangunkan pengkaji serta Borang Permata Q-1 yang mengukur pelaksanaan enam standard pematuhan. Hasil analisis deskriptif mendapati bahawa pendidik mempunyai persepsi positif terhadap penerimaan Kurikulum Permata Negara dari aspek kognitif (min-3.86), afektif (min-4.20), konatif (min-3.91). Sementara itu, analisis inferensi ANOVA mendapati aspek penerimaan adalah lebih tinggi ditunjukkan oleh pendidik dari Pusat Anak Permata Negara berbanding penerimaan pendidik dari jenis Taska yang lain. Seterusnya, analisis deskriptif pelaksanaan standard pematuhan mendapati standard pematuhan keenam berkenaan infrastruktur dan kelengkapan adalah lebih rendah dan belum mencapai tahap capai berbanding lima standard pematuhan yang lain, terutamanya bagi Taska Kemas. Dapatan temu bual pula mendapati masalah yang dihadapi pendidik dalam pelaksanaan Kurikulum Permata Negara meliputi aspek kurang penglibatan ibu bapa, kurang kemudahan, sumber kewangan yang terhad, kurang aktiviti pembangunan professional serta beban tugas yang banyak. Dapatan kajian mencadangkan masalah-masalah yang dihadapi pendidik perlu diambil kira dalam memastikan implementasi Kurikulum Permata Negara dapat dilaksanakan dengan lebih efektif memandangkan para pendidik sememangnya menerima baik kurikulum ini.