Research Monograph

Kajian Pencapaian Kanak-Kanak Program GENIUS Negara 2020

Project Leader

Bahbibi Rahmatullah

Project Code

2020-0004-106-04

Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dapat memangkinkan perkembangan yang optimum. Inisiatif kerajaan melalui Program Genius Negara memfokuskan kanak-kanak dari golongan kurang berkemampuan agar mereka juga dapat menikmati pengalaman penjagaan dan pembelajaran yang berkualiti tinggi. Insitiatif ini tidak hanya membolehkan ibu-bapa bekerja dengan tenang dalam membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi keluarga, tetapi juga mendorong perkembangan anak-anak mereka sejajar dengan matlamat dasar untuk mempromosikan peluang sama rata kepada golongan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk meninjau pencapaian kanak-kanak yang mengikuti program di Pusat ANAK Genius Negara (PAGN) berdasarkan fokus dalam kurikulum kebangsaan yang dilaksanakan. Data kajian melibatkan 3288 orang kanak-kanak dan enam kategori perkembangan iaitu bidang perkembangan Bahasa, komunikasi dan literasi awalbahasa, Deria dan pemahaman dunia persekitaran, Fizikal dan psikomotor, Kreativiti dan estetika, Awal matematik dan pemikiran logik serta Sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian berdasarkan umur dan tempoh mengikuti program di PAGN. Analisis inferensi melalui kaedah Regression Discontinuity Design dan analisis deskriptif dilakukan ke atas data pemerhatian pendidik ke atas kanak-kanak. Hasil dapatan menunjukkan tahap signifikan statistik pada perkembangan Kreativiti, Sahsiah, dan Bahasa pada kanak-kanak di PAGN. Analisis deskriptif menunjukkan pencapaian purata kanak-kanak berumur 3 hingga 5 tahun meningkat sejajar dengan tempoh mengikuti program. Analisis terperinci bagi pencapaian setiap indikator dilakukan untuk memberi input bagi usaha pengukuhan dan penambahbaikan. Walaupun wujud keperluan untuk melihat hasil pembelajaran yang segera dalam jangka masa pendek pada peringkat awal kanak-kanak, namun penghasilan impak sebenar dan manfaat berterusan bagi jangka masa panjang memerlukan pelaburan yang menyeluruh kepada kumpulan sasaran. Oleh itu dalam usaha memaksimumkan pulangan dalam pelaburan, hasil dapatan kajian ini mencadangkan agar perhatian ditumpukan kepada pemahaman aspek kualiti yang sebenar dalam menghasilkan makna insan dalam diri kanak-kanak. Ini adalah sangat mustahak untuk memastikan pelaburan dana awam membawa manfaat yang sewajarnya dan bermakna bagi kesejahteraan bersama. Kata Kunci: Program GENIUS Negara, Pencapaian, Kurikulum asuhan dan didikan awal kanak-kanak

 
Co-researchers

Soon Jan Jan | Suzani Mohamad Samuri