Monograph

Pembangunan Dan Reka Bentuk Kit Pembelajaran Pintar Makhraj Menerusi Media Baharu (sMakh Learning Kit)

Project Leader

Nur Syuhada Mat Sin

Project Code

2020-0021-107-04

sMakh Learning Kit (Smart Makhraj Learning Kit) merupakan Kit Pembelajaran Pintar Makhraj yang pertama menggunakan pendekatan baharu iaitu kaedah makhraj huruf ansur maju berbanding urutan huruf hijaiyah yang digunakan di Malaysia. Kaedah makhraj tersebut mengikut urutan tempat keluar huruf mudah dilihat hingga sukar dilihat iaitu bermula dari tempat keluar huruf di bibir hingga ke kerongkong. Pendekatan ini memberi motivasi yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak untuk menguasai makhraj dengan lebih baik. Kit pembelajaran makhraj ini menggunakan teknologi pembelajaran terkini yang lebih efektif dan bersifat didik-hibur untuk kanak-kanak 6 tahun ke bawah di Malaysia. Ia bermula dengan pengenalan makhraj, mengenal anggota mulut dan dekripsi sifat huruf. Seterusnya pembelajaran melalui permainan kertas (paper toy) makhraj huruf yang boleh diwarnai oleh kanak-kanak mampu mendekatkan kanak-kanak untuk mengenali secara asas setiap sifat huruf. Peringkat seterusnya adalah melalui pembelajaran fonetik sebutan huruf menggunakan kad imbas realiti tertambah (Augmented Reality). Kemudiannya kanak-kanak boleh bernasyid bersama-sama menerusi video animasi lagu makhraj huruf. Pemahaman kanak-kanak diperincikan lagi menerusi latih tubi butang magnet makhraj huruf. Menerusi kajian ini pendedahan awal yang lebih bersifat santai dan menyeronokkan telah disediakan untuk kanak-kanak di samping turut mencakupi aspek pembinaan domain pembelajaran seperti kognitif, psikomotor dan afektif. Rekaan unik setiap karakter 28 huruf yang dihasilkan turut menitikberatkan aspek komersial global yang bersifat lokal menerusi penerapan elemen corak batik dengan pelbagai warna yang ceria bagi setiap karakter huruf hijaiyah. Rekaan sebegini belum pernah dihasilkan pada mana-mana produk rekaan huruf hijaiyah yang terdapat dalam pasaran sehingga kini. Secara tidak langsung setiap karakter huruf ini turut membuka potensi kepada pelbagai produk kanak-kanak di masa hadapan. Pendekatan pelbagai aktiviti interaktif menerusi buku modul sMakh Learning Kit secara fizikal dan digital dengan menggunakan teknologi terkini mampu memberi keseimbangan pertumbuhan kanak-kanak dan menyajikan kelainan kepada suasana pembelajaran makhraj yang lebih menarik. Melalui pendedahan awal makhraj menerusi sMakh Learning Kit yang dihasilkan ini dapat menjadi bahan bantu mengajar ibubapa atau guru prasekolah untuk persediaan awal kanak-kanak mengenal al-Quran sebelum memasuki alam persekolahan. Secara tidak langsung ia membantu untuk menyelesaikan permasalahan penguasaan makhraj huruf yang masih lemah dalam kalangan murid sekolah rendah hingga ke peringkat universiti yang diperolehi daripada kajian-kajian lepas. Justeru menerusi kaedah terkini yang lebih baik melalui penggunaan sMakh Learning Kit diharap dapat membantu penguasaan sebutan makhraj huruf yang lebih efektif dalam membina generasi madani Ulul Albab yang kompeten di Malaysia pada abad ke-21.

Co-researchers

Zarima Mohd Zakaria | Nur Safinas Albakry | Noor Hidayah Azmi | Bahbibi Rahmatullah