Research Monograph

Pengajaran Menggunakan Bahan Bantu Mengajar dalam Tunjang Sains dan Teknologi Prasekolah

Project Leader

Prof Madya Dr.Suppiah Nachiappan

Project ISBN
978-967-0638-76-8
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dalam pengajaran Tunjang Sains dan Teknologi prasekolah ke arah meningkatkan perkembangan kognisi murid yang kreatif, berinovasi dan berinformasi. Kajian kualitatif ini dijalankan dalam dua fasa yang melibatkan 20 orang guru prasekolah dari 3 daerah di negeri Perak. Data kajian diperoleh melalui kaedah pemerhatian dan temu bual separa struktur dengan menggunakan Kaedah Hermeneutik dalam menganalisis dapatan kajian. Hasil dapatan bagi fasa 1 dijadikan sebagai analisis keperluan isi kandungan draf awal buku panduan penggunaan BBM. Buku panduan yang dihasilkan diedarkan kepada responden bagi menguji keberkesanan penggunaannya dalam meningkatkan perkembangan kognisi murid prasekolah dalam fasa ke-2 kajian. Dapatan kajian menunjukkan terdapat kepelbagaian BBM yang digunakan oleh guru prasekolah dalam Tunjang Sains dan Teknologi bagi kedua-dua fasa kajian. Antara yang digunakan oleh guru adalah komputer, bahan maujud, carta gambar dan kad imbasan. Namun begitu, guru dilihat masih kurang mahir dalam aspek pemilihan BBM dan penggunaannya secara kreatif, inovatif dan berinformasi. Walau bagaimanapun, dapatan fasa ke-2 menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam kedua-dua aspek ini. Dalam pada itu, majoriti guru prasekolah bersetuju penggunaan buku panduan BBM sangat membantu dalam merancang pengajaran dan menggunakan BBM, malahan dapat meningkatkan perkembangan kognisi murid prasekolah. Sehubungan itu, guru perlu diberikan latihan dan kemahiran dalam aspek penghasilan dan penggunaan BBM agar dapat memantapkan pengajaran, khususnya dalam Tunjang Sains dan Teknologi prasekolah.
Co-researchers
Zaharah Binti Osman| Hashimah Binti Hussien| Norly Binti Jamil| Nurulhuda Binti Md Hassan