Monograph

Kajian Penciptaan Lagu Kanak-Kanak Dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Dan Bahasa Tamil Bagi Pengajaran Dan Pembelajaran Pra- Sekolah

Project Leader

Vasanthan A/L Gurusamy

Project Code

2020-0024-107-04

Kajian ini dijalankan bagi menganalisis penggunaan lagu untuk mengajar murid pra-sekolah. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti koleksi lagu yang sedia ada dalam Kurikulum Standard Pra-sekolah Kebangsaan dan mengenalpasti tema yang sedang digunakan oleh guru berdasarkan Kurikulum Standard Pra-sekolah Kebangsaan. Seterusnya, pengkaji ingin mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru-guru untuk mengajar menggunakan lagu kanak-kanak serta langkah mengatasinya. Pengkaji juga ingin menghasilkan koleksi lagu yang sesuai dengan diri Murid-murid pra-sekolah mengikut tema yang diminati oleh mereka serta menguji impaknya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah Hermeneutik. Instrumen kajian ini terdiri daripada borang temu bual dan senarai semak pemerhatian. Responden kajian ini pula terdiri daripada seramai 12 orang guru pra-sekolah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa koleksi lagu yang terdapat dalam DSKP adalah lagu-lagu yang popular dan sudah diketahui oleh orang ramai melalui youtube serta tema anggota badan sebagai tema sedang digunakan oleh guru berdasarkan Kurikulum Standard Pra-Sekolah. Seterusnya, masalah yang dihadapi oleh guru dalam mengajar murid pra-sekolah dengan menggunakan lagu ialah memakan masa yang lama dan koleksi lagu yang tidak banyak. Langkah mengatasinya pula merujuk kepada mengubah suai lagu yang sedia ada mengikut kehendak dan topik serta membuat perancangan yang sistematik sebelum mengajar menggunakan lagu. Melalui kajian ini juga 40 buah lagu dalam 4 bahasa telah dicipta. Analisis menunjukkan penggunaan lagu-lagu yang baru dicipta berjaya memberi impak positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Implikasi kajian ini ialah membekalkan sumber lagu-lagu baru kepada pembelajaran pra-sekolah. Kesimpulannya, penggunaan lagu harus ditingkatkan dalam pengajaran dan pembelajaran pra-sekolah dengan mengatasi masalah-masalah yang timbul agar dapat meningkatkan pencapaian dan penglibatan murid.

 
Co-researchers

Suppiah A/L Nachiappan | Wan Mohd Sharil Annuar Wan Mohd Harith | Seah Siok Peh | Mohd Nazir Md Zabit | Karthikeyan Balakrishnan | Sharmini Siva Vikaraman